Sebanyak 21 kawasan di sekitar bandar raya ini dan Nusajaya diwartakan sebagai zon larangan merokok dan akan diperluaskan ke seluruh daerah di negeri ini pada tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, antara kawasan zon larangan merokok yang telah diwartakan adalah Hutan Bandar Mutiara Rini di Skudai, bangunan kerajaan, universiti serta beberapa hotel di sekitar bandar raya ini.
Beliau berkata, pihaknya turut melancarkan program Johor Bebas Asap Rokok (JBAR) hari ini bagi membantu kerajaan negeri memperluaskan zon larangan merokok di negeri ini.
"Kerajaan negeri menerusi program JBAR komited untuk menyediakan persekitaran yang bersih, segar dan selesa serta bebas daripada asap rokok kepada penduduk.
"Justeru, kita akan terus memperluaskan lagi zon larangan merokok ini bukan sahaja di Johor Bahru, malah di daerah lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program JBAR dan Sambutan Hari Tanpa Tembakau peringkat kebangsaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Kamarul Zaman Md. Isa dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Mohd. Azrai Kassim.
Abdul Ghani berkata, pelbagai aktiviti dan program akan dijalankan sempena program JBAR bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya asap rokok khususnya kepada kanak-kanak.
Menurutnya, pelbagai pihak khususnya syarikat swasta diminta menyokong usaha kerajaan negeri dengan mewartakan premis masing-masing sebagai zon larangan merokok.
-UTUSAN
No comments:
Post a Comment