"
Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendakku katakan. Aku tidak
mengetahui apakah aku dapat bertemu kamu selepas tahun ini.
Oleh itu;
dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikan ia kepada orang yang
tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai
manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan kota ini suci, maka
anggaplah jiwa dan harta setiap Muslim sebagai amanah yang suci. Kembalikan
harta yang diamanahkan kepada kami kepada pemiliknya yang berhak.
Janganlah
kamu sakiti sesiapapun supaya orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah
bahawa sesungguhnya kamu pasti akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat
perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah mengharamkan riba mulai sekarang.
Berwaspadalah
terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia berputus asa untuk
menyesatkan kamu dalam perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak
mengikutnya dalam perkara kecil.
Wahai
manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga
mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas
kamu, mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih
sayang.
Layanilah
wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana
sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke
atas mereka ialah sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak
sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai
manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah
sembahyang lima kali sehari, berpuasalah pada Ramadhan, dan tunaikanlah zakat
daripada harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu.
Ketahuilah
bahawa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua
adalah tidak seorang pun yang lebih mulia daripada yang lainnya terkecuali
dalam takwa dan amal soleh.
Ingatlah
kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan
atas segala apa yang kamu kerjakan. Oleh itu, awaslah supaya jangan sekali-kali
kamu terkeluar daripada landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai
manusia, tidak ada lagi nabi dan rasul yang akan datang selepasku. Dan tidak
akan lahir agama baru.
Oleh itu,
wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku
sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara,
yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikut kedua-duanya, nescaya kamu
tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah
orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang lain dan yang lain
menyampaikannya pula kepada orang lain.
Semoga
orang terakhir lebih memahami kata-kataku daripada mereka yang mendengar terus
daripadaku. Saksikan ya Allah, bahawasanya aku sampaikan risalah-Mu kepada
hambanya."
No comments:
Post a Comment